BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk memberi kembali kepada komuniti, Bank Standard Chartered (StanChart) Brunei berjaya menganjurkan dua kempen derma darah komuniti pada Jun lalu dengan mengumpul hampir 150 pain darah melalui penyertaan orang ramai, sukarelawan kakitangan dan rakan kongsi.
Kempen pertama diadakan pada 19 Jun itu diadakan di Hua Ho Manggis Mall, dari 10 pagi hingga 3 petang, dihoskan bersama Hua Ho Department Store. Manakala kempen kedua pada 23 Jun diadakan di Cawangan Gadong StanChart Brunei dengan kerjasama Bangunan Wisma Haji Mohd Taha iaitu pengurusan bangunan itu.
Wakil dari Hua Ho Department Store antaranya berkata mereka berbangga menjadi sebahagian daripada usaha itu yang mana menderma darah adalah satu tindakan mudah dalam menyelamatkan nyawa yang memerlukan, dan mereka juga berbesar hati untuk menyediakan ruang di mana orang ramai boleh mengambil bahagian.
Sementara itu, pihak pengurusan Bangunan Wisma Haji Mohd Taha juga berkongsi penganjuran kempen dengan StanChart mencerminkan nilai bersama mereka dan mereka berbesar hati untuk menyokong usaha yang menyumbang secara langsung kepada kesihatan dan keselamatan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada program sukarelawan pekerja global, semua kakitangan StanChart berhak mendapat cuti sukarela berbayar selama tiga hari setahun. Mengambil bahagian dalam kempen derma darah layak sebagai salah satu cara pekerja boleh menggunakan cuti sukarela mereka, menekankan kepercayaan bank dalam memperkasakan kakitangan untuk menyalurkan kebaikan.
-- Courtesy of Media Permata