BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sumbangan berjumlah $6,550 daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah diserahkan kepada keluarga Awang Amansah bin Mohd Zaini, yang terjejas akibat kejadian kebakaran di Rancangan Perumahan Negara Kampung Panaga Kawasan C.
Majlis penyampaian sumbangan kewangan berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan ialah Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei dan juga selaku Pemangku
Pengarah Urusan Yayasan, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah penolong pengarah urusan, pegawai serta kakitangan Yayasan.
Penubuhan Yayasan ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Selaras dengan hasrat murni tersebut, Yayasan sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik, termasuk mereka yang terlibat dalam musibah seperti kebakaran rumah.
Bantuan yang disalurkan bertujuan meringankan beban mangsa dan membantu mereka meneruskan kehidupan harian.
-- Courtesy of Media Permata