REPUBLIK SINGAPURA, 11 OGOS – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini berangkat balik dari Republik Singapura setelah menghadiri Upacara Perbarisan Hari Kebangsaan Republik Singapura ke-60 tahun.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Vivian Balakrishnan; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Laurence Bay, dan isteri; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Puan Yang Terutama Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman.
-- Courtesy of Media Permata