Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dengan berkat dan hidayah daripada Allah SWT, Soldadu (U) Christopher Adewin bin Yahya, anggota 31 Skuadron, Cawangan No. 3 Kumpulan Gerakan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah yang berlangsung di Surau Al-Barakah, Pangkalan Tentera Udara Rimba, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, menyatakan bahawa turut diraikan pada majlis berkenaan ialah tiga orang anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang baru-baru ini memeluk agama Islam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai ABDB dan PDI, KHEU, serta anggota-anggota ABDB dan ahli keluarga anggota-anggota yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Mu’minun oleh Soldadu (U) Awang Masrur Fu’ad bin Haji Asmat dari Cawangan No.5 TUDB diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Soldadu (U) Christopher Adewin yang dipimpin oleh Pegawai Pengislaman dari Pusat Dakwah Daerah Brunei Muara, KHEU, Awang Edy Kasrin bin Abdul Kadir.
Majlis disemarakkan lagi dengan laungan takbir sebanyak tiga kali, diikuti dengan bacaan Doa Pengislaman oleh Pemangku Pengarah JAMA’AT, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar dan diakhiri dengan Dikir Marhaban dan menabur bunga rampai.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati oleh Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi kepada Soldadu (U) Christopher Adewin dan diselajurkan dengan penyampaian cenderahati kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggota yang baru-baru ini memeluk agama Islam.
Pegawai dan anggota-anggota yang diraikan itu termasuk Leftenan Madya Afifah Syamimi binti Yanam dari TLDB; Laskar Umar bin Muhammad Kamis dari TLDB dan Soldadu (U) Hafiy Enrique bin Hamran.
Majlis diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, sembahyang Fardu Asar berjemaah dan sesi bergambar ramai.
-- Courtesy of Media Permata