MILAN, 10 OKT – Pengeluar kereta sukan mewah Itali, Ferrari, kelmarin menaikkan unjuran kewangan bagi tahun 2025 meskipun berdepan tarif import 15 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap kenderaan asing, ketika syarikat itu mendedahkan rangkaian kuasa dan casis bagi kenderaan elektrik (EV) penuh pertama keluarannya.
Bagaimanapun, pelancaran sulung EV tersebut terjejas oleh hari dagangan terburuk sejak syarikat itu disenaraikan pada 2016.
Para penganalisis industri menjangkakan pertumbuhan jangka panjang yang lebih besar, namun saham syarikat itu merosot 15 peratus di Bursa Milan dan mencatat penurunan hampir sama di Bursa Saham New York.
Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna enggan mendedahkan jumlah pengeluaran sasaran atau harga bagi model baharu yang dinamakan Ferrari Elettrica, yang dijangka mula dihantar kepada pelanggan menjelang akhir tahun depan, dengan rekaan rasminya akan diperkenalkan pada musim bunga.
Di bawah pelan lima tahun baharu syarikat itu, 40 peratus barisan model akan terus menggunakan enjin pembakaran dalaman tradisional, 40 peratus hibrid dan hanya 20 peratus elektrik sepenuhnya menjelang 2030, dengan purata empat pelancaran model baharu setiap tahun dalam tempoh berkenaan.
Pelan itu menandakan pengurangan ketara dalam bilangan model EV penuh berbanding sasaran yang diumumkan beberapa tahun lalu.
Pada 2022, Ferrari pernah menyatakan bahawa 40 peratus daripada barisan modelnya akan terdiri daripada EV. – AP
-- Courtesy of Media Permata