46 pasukan sertai Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025
 Posted on : Oct 12, 2025, 8:02AM   6 total views  Category : Sports
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa diperkenalkan kepada salah seorang ahli pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

Oleh Sim Y.H. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Sebanyak 46 pasukan sepak takraw beraksi bagi merebut gelaran juara dalam Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) selaku penaja utama liga yang bermula pada 5 Oktober hingga 2 November.

Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan Rasmi Kejohanan Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian kejohanan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk barisan pasukan-pasukan yang menyertai kejohanan, diikuti dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan dan disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa dipimpin oleh Pegawai Penganalisa di Jabatan Belia dan Sukan, Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim.

Majlis perasmian seterusnya menyaksikan lafaz Ikrar Atlet Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 oleh Abdul Hadi bin Metali dan lafaz Ikrar Teknikal Liga Super Sepak Takraw TAIB 2025 oleh Ramlan bin Haji Mohd Said.

-- Courtesy of Media Permata

HITS: