BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menganjurkan Syariah Advisory Forum (SAF) 2025 di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini, yang dihadiri oleh pengamal industri dari sektor kerajaan dan swasta dari dalam dan luar negara.
Forum yang bertemakan Strategic Syariah Advisory for Ethical and Sustainable Islamic Finance itu menghimpunkan para cendekiawan syariah, pengamal industri serta pakar-pakar terkemuka untuk membincangkan pendekatan strategik dalam membuat keputusan syariah di institusi kewangan Islam.
Berteraskan prinsip Maqasid Syariah, forum tersebut bertujuan memastikan hasil yang beretika, mampan serta berdaya saing dalam landskap kewangan Islam yang sentiasa berkembang.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Afero Eswandy Mohamad.
Dalam ucapannya, beliau menyuarakan aspirasi agar forum berkenaan dapat merangsang perbincangan yang terbuka dan berwawasan, di mana syariah bukan sekadar sebagai peraturan, tetapi juga sebagai panduan strategik dalam membuat keputusan.
Beliau turut menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan dalam industri kewangan Islam bagi memastikan kewangan Islam terus mengekalkan asas etikanya sambil memberi impak yang bermakna dan mampan kepada komuniti serta masyarakat secara lebih luas, di mana produk kewangan bukan sahaja diukur kepada keuntungan, bahkan juga mengenai keadilan, tanggungjawab dan kemampanan.
Acara diteruskan dengan pembentangan khas oleh Ahli Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah (SFSB), Dr Mohd Hairul Azrin bin Haji Besar. Acara diikuti dengan sesi panel bertajuk Syariah Leadership in Islamic Finance: Aligning Global Syariah Standards with Strategic Decision-Making, yang menampilkan Ketua Wilayah, Nasihat & Tadbir Urus Syariah, CIMB Islamic Bank, Ahmad Suhaimi bin Yahya; Timbalan Presiden Penyelidikan, ISRA Institute, INCEIF University, Marjan Muhammad; Ketua Kewangan Sosial Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri bin Chik; dan dikendalikan oleh Dr Mohd Hairul Azrin.
Semasa forum tersebut juga diadakan pembentangan khas bertajuk From Rules to Principles: Evaluating Compliance Approaches in Islamic Sustainable Finance oleh Mohd Nazri bin Chik. Ini diikuti dengan perbincangan panel dengan tema Embedding Maqasid Syariah in ESG: The Role of Syariah Advisory Boards in Shaping Ethical Sustainability, yang dikendalikan oleh Pengurus Bahagian Pakar Risiko Syariah di Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Awang Muhammad Zul Hamzi Faiz bin Haji Zali, bersama Ahmad Suhaimi, Marjan Muhammad dan Mohd Nazri.
-- Courtesy of Media Permata