Leverkusen bangkit, tebus kekalahan PSG
 Posted on : Oct 28, 2025, 8:26AM   7 total views  Category : Sports
Christian Kofane (kiri) dan Maximilian Eggestein semasa perlawanan Bundesliga Jerman antara Bayer Leverkusen dan SC Freiburg di Leverkusen, Jerman pada 26 Oktober. – AP

LEVERKUSEN, 27 OKT – Bayer Leverkusen menemui sedikit kelegaan di laman sendiri kelmarin, selepas dimalukan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Freiburg dalam aksi Bundesliga.

Dibelasah 7-2 oleh juara Eropah di venue yang sama lima hari lalu, Leverkusen kembali ke landasan kemenangan hasil jaringan Ernest Poku dan Edmond Tapsoba pada kedua-dua babak saingan.

Pemain tengah Leverkusen, Jonas Hofmann memberitahu DAZN, pasukannya ‘berjaya melupakan kekalahan 7-2 kepada PSG’ menerusi kemenangan kelmarin.

Leverkusen, juara berganda musim 2023-24, kini mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam Bundesliga sebagai sebahagian daripada tujuh perlawanan tanpa kalah di peringkat domestik.

Jurulatih Kasper Hjulmand, yang menggantikan Erik ten Hag selepas dua perlawanan liga pertama musim ini, masih belum tewas dalam saingan Bundesliga.

Kekalahan itu merupakan yang pertama bagi Freiburg dalam liga sejak Ogos lalu.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 pada Mei, namun hanya tiga pemain dalam kesebelasan utama Leverkusen kelmarin yang masih kekal bersama kelab sejak musim lalu.

Selepas 22 minit permainan, pemain tengah Sepanyol, Aleix Garcia melakukan beberapa hantaran bijak dengan Poku, yang kemudian melepaskan rembatan rendah ke penjuru kanan bawah untuk membuka jaringan buat tuan rumah.

Ia merupakan kali kelapan dalam lapan perlawanan liga musim ini Leverkusen menjaringkan gol terlebih dahulu. – AFP

-- Courtesy of Media Permata

HITS: