AIR FORCE ONE, 27 OKT – Donald Trump hari ini menegaskan beliau tidak akan bertanding sebagai naib presiden dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS) 2028, menolak cadangan daripada sebahagian penyokongnya yang melihat langkah itu sebagai cara untuk mengelak had penggal dan kekal di Rumah Putih.
Perlembagaan AS mengehadkan seseorang presiden kepada dua penggal, dan Trump telah memulakan penggal keduanya pada Januari lalu.
Namun, beberapa penyokongnya mencadangkan bahawa ahli Republikan itu boleh ‘mengelak’ peraturan tersebut dengan menjadi naib presiden dan kemudian mengambil alih semula jawatan presiden sekiranya kekosongan berlaku.
Ketika ditanya oleh wartawan di dalam pesawat Air Force One sama ada beliau akan bertanding sebagai naib presiden pada November 2028, Trump berkata beliau dibenarkan untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau menambah, “Saya tidak akan melakukannya… Saya rasa itu terlalu licik. Ia tidak betul.”
Trump, yang berkhidmat sebagai presiden dari 2017 hingga 2021, sering menyebut bahawa penyokongnya mahu beliau terus memimpin selepas penggal semasanya, walaupun terdapat sekatan perlembagaan.
Ahli perniagaan berusia 79 tahun itu juga baru-baru ini dilihat mempamerkan topi merah bertulis slogan Trump 2028 di atas mejanya di Pejabat Oval.
Antara teori popular dalam kalangan penyokongnya ialah naib presiden semasa, JD Vance, boleh bertanding sebagai presiden pada 2028 dengan Trump sebagai calon naib presiden.
Sekiranya Vance menang, beliau kemudiannya boleh meletak jawatan dan menyerahkan jawatan presiden kembali kepada Trump.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas bekas penasihatnya, Steve Bannon, antara ideolog utama gerakan Make America Great Again, mendakwa ‘terdapat rancangan’ untuk mengekalkan Trump di Rumah Putih. – AFP
-- Courtesy of Media Permata