Penampilan sedondon Hael Hussaini dan Dayang Nurfaizah pada majlis resepsi pengantin baharu, Fattah Amin dan Amira Othman, semalam, menarik perhatian peminat yang tidak sabar melihat mereka berdua disatukan.
Pada majlis itu, Hael dan Dayang yang sebelum ini dipercayai menjalin hubungan istimewa, mendendangkan lagu duet berjudul Hari Ini.
Pada hantaran Hael di Instagram (IG), penyanyi lagu Jampi itu berkongsi foto mereka tampil sedondon dengan rona putih persis pasangan mempelai, lapor BH Online.
Semakan pada ruangan komen mendapati bukan sahaja warganet, artis juga seakan-akan memberi restu dan teruja melihat kemesraan pasangan yang digelar #Haeyang itu melalui komen dan emoji ditinggalkan.
Antara rakan selebriti dan personaliti yang dilihat meninggalkan emoji hati adalah Datuk Seri Rossa dan Datuk Alha Alfa. Penyanyi Aisha Retno pula menyifatkan pasangan itu sebagai sama cantik sama padan bagai pinang dibelah dua.
Tidak cukup itu, peminat mula menitipkan ucapan Selamat Pengantin Baharu sedangkan baik Hael atau Dayang, masing-masing tidak pernah membuka mulut atau mengesahkan ada sesuatu yang istimewa antara mereka.
“HaeYang.. Kita approved. Amin permudahkan urusan nanti,” komen seorang pengikut Hael.
“Tahniah Hael.. Selamat Pengantin Baharu, tahun depan raya di Kuching atau balik Negeri Sembilan,” usik seorang lagi warganet.
Jun lalu, tular di TikTok konon Hael dan Dayang sudah bertunang, namun, mereka menafikan khabar angin itu. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata