MANCHESTER, 31 OKT – Manchester United sedang menuju ke ‘landasan yang betul’, menurut pengarah sukan, Jason Wilcox ketika Red Devils berusaha mengekalkan kebangkitan prestasi di bawah bimbingan Ruben Amorim.
Buat pertama kali dalam tempoh setahun di bawah kendalian pengurus dari Portugal itu, United mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sekali gus melonjak ke tangga keenam liga.
Pelantikan Wilcox tahun lalu merupakan salah satu daripada beberapa perubahan selepas jutawan Britain, Jim Ratcliffe, memperoleh pegangan minoriti dalam kelab gergasi England itu.
United menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-15 pada musim penuh pertama semasa Ratcliffe mengendalikan operasi bola sepak kelab dan terlepas peluang beraksi dalam saingan Eropah buat kali kedua dalam tempoh 30 tahun.
Namun, Wilcox melihat perkembangan positif walaupun mengakui akan ada lebih banyak ‘rintangan di sepanjang jalan’ dalam usaha kelab itu untuk kembali bersaing merebut gelaran dalam Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
“Kami sedang menuju ke arah yang betul,” kata Wilcox dalam satu temu bual bersama media rasmi kelab.
“Kami mempunyai pelan yang jelas. Saya pasti akan ada halangan, tetapi kami perlu kekal tenang tanpa menghiraukan bunyi bising dari luar.”
Selepas dua musim tanpa bola sepak Liga Juara-Juara, kedudukan empat teratas menjadi keutamaan bagi memastikan kempen kembali ke pentas elit Eropah, penting untuk reputasi United dan juga bagi mematuhi peraturan kemampanan kewangan. – AFP
-- Courtesy Of Media Parmata