Berbekalkan idea yang dekat dengan budaya sendiri, karya seorang mahasiswa Indonesia berjudul Sisa Satu mencuri perhatian juri untuk merangkul Anugerah Filem Pendek Terbaik pada Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025, baru-baru ini.
William Simanjuntak, 21, mengakui tidak pernah terfikir untuk bergelar pemenang dan berkata konsep yang diketengahkannya itu diinspirasikan daripada tradisi masyarakat Palembang di Indonesia yang meninggalkan sedikit makanan sebagai tanda menghormati tuan rumah.
“Di bandar saya Palembang ada budaya bernama ‘sisa satu’ iaitu meninggalkan satu makanan sebagai tanda penghormatan kepada tuan rumah dan ia juga tanda tetamu sudah kenyang. Ia satu budaya yang amat dekat di hati saya sejak kecil lagi.
“Saya percaya cerita yang baik adalah cerita yang dekat dengan diri (kita). Ini adalah kisah sebenar saya sendiri, jadi lebih senang untuk saya bawa ceritanya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Sidang Kemuncak Filem & TV ASEAN 2025 (Siri 2) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid. – Bernama
-- Courtesy Of Media Permata