DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 2 NOV — Buat seketika, deretan basikal mengambil alih lebuh raya paling sibuk di Dubai hari ini sebagai sebahagian daripada acara berbasikal tahunan bersempena cabaran kecergasan peringkat bandar.
Ribuan penunggang basikal beraksi di atas Jalan Sheikh Zayed yang mempunyai 12 lorong pada pagi hujung minggu tersebut.
Pihak berkuasa menutup sebahagian lebuh raya ekspres itu bagi menjayakan kempen Dubai 30×30, satu cabaran yang menggalakkan penduduk di Emiriah Arab Bersatu tersebut untuk melakukan 30 minit aktiviti fizikal setiap hari sepanjang bulan November.
Lebuh raya E11 itu biasanya menawarkan pemandangan ikonik seperti Menara Burj Khalifa yang merupakan bangunan tertinggi dunia, Muzium Masa Depan berbentuk gelang perak, serta mercu tanda lain di Dubai.
Namun, bagi kebanyakan pemandu, peluang untuk menikmati pemandangan tersebut jarang berlaku kerana lebuh raya tersebut kebiasaannya sesak dengan kenderaan, didorong oleh pertambahan pesat populasi bandar yang menyaksikan pasaran hartanah berkembang maju tetapi pada masa sama meletakkan tekanan kepada kehidupan penduduk setempat. – AP
-- Courtesy of Media Permata