KING OF PRUSSIA, 11 NOV – Selepas bertahun-tahun mengadakan acara pop-up sementara, syarikat gergasi penstriman Netflix akan buat percubaan pertamanya membina taman tema minggu ini, menyaingi syarikat seperti Disney dan Universal Studios.
Dengan nama taman tema ‘Netflix House’, ia akan dibuka esok di pusat beli-belah King of Prussia iaitu salah satu pusat membeli-belah terbesar di Amerika Syarikat, di pinggir bandar Philadelphia, Pennsylvania, dalam ruang seluas lebih 100,000 kaki persegi.
Taman tema yang akan menawarkan kemasukan percuma, merancang untuk menganjurkan pelbagai tempat makan dan aktiviti yang dihiasi menyerupai beberapa rancangan dan filem paling popular platform itu, termasuk Bridgerton, Stranger Things, Squid Game dan KPop Demon Hunters.
Ketua Pegawai Pemasaran Netflix, Marian Lee, berkata syarikat itu memilih untuk tidak mengenakan bayaran untuk kemasukan kerana, “kami mahukan aksesibiliti seperti itu. Kami mahu menjadi destinasi harian.”
“Sejak kami lancarkan acara pop-up, ia jelas bahawa kami sebenarnya akan mempunyai lebih banyak fleksibiliti jika kami mempunyai lokasi tetap,” katanya kepada AFP dalam satu temu bual.
Lokasi Netflix House tambahan akan dibuka selepas tarikan Pennsylvania, dengan satu di Dallas, Texas dijadualkan untuk dilancarkan pada 11 Disember dan yang ketiga di Las Vegas Strip di Nevada menjelang 2027.
“Las Vegas adalah ruang yang sangat berbeza. Ia bukan di dalam pusat membeli-belah, tetapi ia berada di Strip. Oleh itu, kami akan buatnya sedikit berbeza,” kata Lee.
Walaupun Lee tidak mengesahkan kos untuk membina taman tema ini, beliau berkata, “awda dapat lihat ia libatkan pelaburan modal yang besar dari syarikat ke dalam ruang-ruang seperti semua kemasan dan fabrikasi.”
Setakat ini, Lee berkata tiada rancangan untuk membina Netflix House di peringkat antarabangsa. “Kami perlu memikirkannya dengan cara yang berbeza,” katanya. – AFP
-- Courtesy of Media Permata