Puluhan syiling emas purba dirompak
 Posted on : Nov 24, 2025, 7:23AM   6 total views  Category : World
Antara pameran di muzium Rom di Lausanne, Switzerland pada 4 November. – AP

GENEVA, 23 NOV – Pihak berkuasa Switzerland pada Jumaat meneruskan usaha mengesan dua perompak yang menumpaskan seorang pengawal keselamatan di sebuah muzium era Rom di Lausanne sebelum memecahkan bekas pameran dan melarikan puluhan syiling emas yang dipamerkan.

Polis bandar itu dalam kenyataan lewat Khamis memaklumkan suspek membeli tiket dan menunggu sehingga semua pengunjung lain beredar hampir waktu penutupan, sebelum menyerang serta menahan pengawal berkenaan dan merosakkan kotak pameran.

Nilai kewangan syiling emas yang dicuri dalam kejadian pada Selasa itu tidak didedahkan, namun polis menegaskan kesemua artifak berkenaan mempunyai ‘nilai arkeologi’.

Kecurian tersebut berlaku ketika harga emas meningkat di pasaran global, meskipun tidak setinggi paras kemuncaknya baru-baru ini dan selepas satu rompakan berprofil tinggi di Muzium Louvre, Paris, yang mendedahkan kelemahan dan risiko keselamatan institusi muzium.

Menurut pegawai, kakitangan muzium yang bertugas ketika kejadian, seorang lelaki warga Switzerland berusia 64 tahun, telah ditemu bual oleh penyiasat dan tidak mengalami kecederaan. Tiada kakitangan atau pengunjung lain berada di lokasi ketika insiden berlaku.

Pihak pendakwa raya negeri telah membuka siasatan. Pihak berkuasa bandar Lausanne turut memfailkan aduan undang-undang berhubung kerosakan di muzium, manakala kerajaan wilayah, pemilik syiling emas tersebut akan memfailkan aduan jenayah. – AP

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: