Terdapat kemajuan dalam perbincangan Geneva berhubung pelan damai 28 perkara
 Posted on : Nov 25, 2025, 7:27AM   1 total views  Category : World
Marco Rubio mengadakan sidang akhbar susulan rundingan tertutup untuk menamatkan perang di Ukraine di Misi AS di Geneva pada 23 November. – AFP

GENEVA, 24 NOV – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio kelmarin berkata terdapat kemajuan ‘ketara’ dalam rundingan bersama pegawai Ukraine di Geneva mengenai pelan damai 28 perkara yang dikemukakan Washington, meskipun cadangan itu menerima tentangan daripada Kyiv dan sekutu Eropahnya, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Walaupun mengakui masih terdapat perkara yang menjadi pertikaian, beliau menegaskan bahawa tiada satu pun isu itu ‘mustahil untuk diselesaikan’.

“Saya benar-benar percaya kita akan capai titik persetujuan,” katanya.

Rubio memberitahu wartawan bahawa pihak-pihak terlibat telah meneliti dan memperhalusi draf dokumen sejak beberapa minggu kebelakangan ini, yang terus ditambah baik dari semasa ke semasa, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

-- Courtesy of Media Permata

Rundingan di Switzerland yang turut di-sertai pegawai dari Perancis, United Kingdom, Jerman dan Kesatuan Eropah, diadakan secara tergesa-gesa bagi mendesak AS menilai semula cadangan terbaharunya untuk menamatkan konflik.

Sekutu Eropah menolak pelan itu dalam bentuk asalnya kerana ia dianggap sangat memihak kepada Rusia.

Dokumen 28 perkara itu antara lain menuntut Kyiv menyerahkan sebahagian besar wilayah kepada Rusia dan mengehadkan saiz tenteranya. – Bernama

 

HITS: