Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman diraikan dengan penuh meriah dalam majlis resepsi yang berlangsung di Royal Berkshire, Jerudong malam tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, bersama isteri.
Dalam ucapan alu-aluannya, Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Erma Said Mohamed Al Kathiry menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN) Brunei serta semua pihak kerajaan dan swasta atas sokongan berterusan terhadap hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.
PYT Erma Said menegaskan hubungan dua hala Oman dan Brunei yang telah terjalin lebih empat dekad terus berkembang melalui rangkaian lawatan rasmi dan kerjasama pelbagai bidang.
Antaranya termasuk lawatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador At Large di KHELN pada Disember 2024; Mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Bersama Oman–Brunei pada Februari 2025 serta Mesyuarat Konsultatif Dua Hala ke-23 antara kedua-dua kementerian luar negeri.
Sementara itu, kerjasama ekonomi, tenaga dan pertahanan terus berkembang menerusi pelaburan Oman–Syarikat Pelaburan Brunei (OBIC); projek teknologi melalui Comquest dan operasi INNOVATEQ.
Dalam sektor tenaga, pertukaran kepakaran antara syarikat Oman dan syarikat tenaga Brunei, termasuk Syarikat Minyak Brunei Shell dan Brunei LNG, telah menjadi komponen penting hubungan strategik.
Manakala hubungan pertahanan antara kedua-dua negara juga telah diperkukuh melalui penyertaan pegawai tentera dalam kursus dan program profesional.
Dari segi hubungan budaya dan media, ia turut mencatat kemajuan melalui pembaharuan memorandum persefahaman media pada April 2025 serta penglibatan dalam Pesta Buku Muscat dan Pesta Buku Brunei.
Bidang pendidikan turut menjadi asas penting hubungan, khususnya melalui biasiswa, pertukaran akademik dan kerjasama dalam pengajian bahasa Arab.
Majlis terdahulu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara diikuti sesi memotong kek dan bergambar ramai.
-- Courtesy of Media Permata