Kes cubaan penipuan pilihan raya 2020 terhadap Trump digugurkan
 Posted on : Nov 28, 2025, 7:14AM   5 total views  Category : World
Donald Trump tiba dengan pesawat Air Force One di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach, pada 25 November, di West Palm Beach, Florida. – AP

WASHINGTON, 27 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memperoleh kemenangan sah selepas mahkamah kelmarin menolak kes terhadapnya atas dakwaan percubaan penipuan pilihan raya semasa pilihan raya presiden 2020 di negeri Georgia, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

Hakim meluluskan permohonan daripada pejabat pendakwa raya Georgia untuk menamatkan prosiding, menurut laporan media AS.

Stesen penyiaran CNN, NBC dan PBS, serta akhbar New York Post, New York Times dan lain-lain melaporkan bahawa pendakwa raya yang baru dilantik, Peter Skandalakis berkata dia tidak akan meneruskan pertuduhan tersebut.

Mereka memetik Skandalakis sebagai berkata tidak berbaloi untuk meneruskan kes ini sehingga lima atau 10 tahun lagi demi kepentingan rakyat Georgia.

Pada 2020, calon Demokrat Joe Biden memenangi pilihan raya presiden menentang Trump. Di Georgia, Trump daripada Parti Republikan tewas dengan margin tipis.

Pertuduhan mendakwa Trump dan beberapa individu lain cuba menekan pegawai awam supaya melanggar sumpah jawatan bagi membatalkan keputusan pilihan raya di Georgia.

Trump sehingga kini tidak mengakui kekalahan pilihan rayanya, sebaliknya mendakwa bahawa kemenangannya telah dirampas melalui penipuan pilihan raya, dakwaan yang telah dibuktikan tidak benar.

Beberapa bekas rakan sekutu Trump telah mencapai persetujuan dengan pejabat pendakwa raya dalam prosiding tersebut dan mengaku bersalah.

Trump memenangi semula pilihan raya presiden pada November 2024 menentang calon Demokrat Kamala Harris dan dia kini sedang menjalani penggal keduanya. – Bernama

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: