Vokalis Nidji elak buka baju di pentas
 Posted on : Nov 28, 2025, 7:17AM   5 total views  Category : Entertainment
Nidji mewakili Indonesia dalam persembahan julung kali di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember, nanti. – mStar

Menghormati adab dan sensitiviti budaya masyarakat Malaysia, vokalis kumpulan popular Indonesia, Nidji, iaitu Yusuf Ubay, memilih untuk tidak melakukan aksi membuka baju ketika membuat persembahan di negara ini.

Menurutut Ubay, meskipun aksi sebegitu cukup sinonim dengan dirinya di Indonesia, beliau sedar ia kurang sesuai dengan norma penonton di negara ini, lapor BH Online!.

“Kami menghargai dan menghormati peraturan di setiap lokasi yang kami pergi. Setiap daerah ada peraturannya dan saya harus menyesuaikan diri.

“Kadang-kadang suasana panas, terutama kalau persembahan ‘outdoor’, adrenalin tinggi, jadi mungkin terbawa. Tapi di Malaysia, saya jaga batas,” katanya pada sidang media Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface di Hard Rock Cafe, kelmarin,

Ubay yang dikenali sebagai vokalis aktif dan bertenaga berkata, menjaga kecergasan adalah rutin penting baginya.

“Penting untuk kekal ‘fit’. Alhamdulillah, kami masih diberi banyak peluang untuk buat persembahan, jadi tenaga perlu dijaga.

“Di atas pentas, ada lagu yang temponya sangat kencang, jadi kita tidak boleh mudah semput hanya kerana menyanyi satu dua lagu. Kesihatan juga perlu dijaga supaya kita kelihatan segar dan muda,” katanya.

Berkongsi mengenai penganjuran Nusa Fest kali ini, Ubay berkata, Nidji sentiasa teruja setiap kali kembali mengadakan persembahan di Malaysia.

“Di sini energinya selalu berbeza. Tidak kira di KL, Kuching atau Kota Kinabalu, sambutannya tetap hangat. Peminat di sini tak pernah mengecewakan kami.

“Malah kami sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan Bunkface. Kami kenal mereka sudah lama dan pernah membawa lagu mereka, Situasi. Untuk persembahan nanti, pasti ada kejutan,” katanya.

Ubay berkata, mereka mahu menunjukkan bahawa kedua-dua kumpulan ini masih kekal relevan dan kuat meskipun melalui pelbagai era muzik.

Berbeza dengan penganjuran 2023 yang menghimpunkan puluhan artis, Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface kali ini memberi fokus kepada dua kugiran utama sahaja. – Agensi

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: