BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Seramai 166 penerima sijil penghargaan dan cenderamata diraikan pada Hari Apresiasi Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi Meraikan Pencapaian-pencapaian Sepanjang Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti ucapan alu-aluan dan penghargaan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Dalam ucapannya, beliau antara lain menjelaskan bahawa penganjuran hari apresiasi tersebut memfokuskan kesungguhan, ketekunan dan dedikasi seluruh warga kementerian dalam menggalas amanah serta memperkukuh pembangunan keagamaan negara, yang menjadi asas kepada kemakmuran, keharmonian dan keberkatan Negara Brunei Darussalam.
Tetamu kehormat seterusnya berkenan menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderamata kepada para penerima yang terdiri daripada empat pemenang Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446H/2025M; empat penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-32; dua penerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru kali ke-35; lapan penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention) sempena Sambutan Hari Guru kali ke-35; dan 148 pegawai serta kakitangan KHEU yang bersara.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid An-Na’im Kampung Panchor Mengkubau, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Mohd Saifullah bin Haji Rosli.
-- Courtesy of Media Permata